Blog ini akan mempelbagaikan bahan yang berkaitan dengan dunia pendidikan. Blog ini tidak hanya menumpukan kepada aspek berita semasa sahaja tetapi akan disertakan dengan apa sahaja bahan yang mempunyai kaitan dengan pendidikan dan PENDIDIK.

Fokus: Pendidikan unik

Monday, December 21, 2009

MAKTAB Rendah Sains Mara (MRSM) berjaya melaksanakan program pendidikan unik yang menekankan aktiviti akademik dan kokurikulum dalam proses melahirkan pelajar cemerlang serta berdaya saing.

Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah) Mara, Md Rahim Salim, berkata pelaksanaan program Homeroom menjadi teras sistem pendidikan MRSM yang mula diperkenalkan pada 1972 di Seremban.

Beliau berkata, Homeroom adalah konsep kumpulan pelajar sebaya menjalani hidup bersama dalam suasana persaudaraan dengan seorang guru penasihat berfungsi sebagai pembimbing.

Katanya, pihak pengurusan percaya setiap pelajar mempunyai keistimewaan serta keunikan tersendiri dan berpotensi terus maju, sekali gus mencipta kejayaan.

“Melalui Homeroom, pelajar dididik supaya berfikiran matang dan berani menghadapi cabaran.

“Proses pendidikan pelajar MRSM berbeza pengetahuan, pencapaian, pengalaman serta latar belakang sosio ekonomi dan masing-masing diberikan pendedahan supaya wujud perasaan kekitaan di kalangan mereka,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsep Homeroom kata Md Rahim, dikendalikan seorang guru penasihat, presiden, naib presiden, setiausaha serta bendahari yang dilantik dalam kalangan 15 pelajar bagi satu kumpulan.

Pendekatan itu katanya, membentuk struktur menggantikan sistem keluarga di rumah dengan diketuai guru penasihat Homeroom dan masing-masing hidup dalam kumpulan bagi membolehkan setiap masalah dirujuk untuk dikongsi bersama.

Kaedah Homeroom itu katanya, membolehkan pelajar menganjurkan aktiviti sama ada formal atau tidak formal bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelajar dalam usaha membimbing mereka menjadi golongan berkebolehan semua aspek.

“Perjumpaan Homeroom diadakan seminggu sekali untuk mengendalikan aktiviti terancang seperti kursus komunikasi berkesan, pengendalian jenazah dan pertandingan memasak,” katanya.

Md Rahim berkata, bersesuaian dengan konsep Mara menanam kemahiran keusahawanan di kalangan pelajar MRSM, karnival atau projek jualan adalah aktiviti Homeroom yang digemari pelajar.

Beliau berkata, program Homeroom dikendalikan dalam sistem pendidikan MRSM banyak membantu pelajar mengenali diri mereka dan dengan panduan serta bimbingan yang berterusan daripada guru penasihat.

Katanya, berdasarkan sistem pendidikan berkesan, permintaan memasuki MRSM meningkat dan pihaknya menerima lebih 20,000 permohonan daripada lepasan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk kemasukan ke tingkatan satu di 39 MRSM.

“Kami juga menerima hampir 14,000 permohonan daripada lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi mengisi 3,729 tempat ditawarkan di 42 buah MRSM seluruh negara yang mengambil pelajar tingkatan empat,” katanya.

BHO

Read more...

Jadual waktu anjal tingkat keberkesanan pengajaran guru

PELAKSANAAN jadual waktu anjal antara perubahan utama dilakukan Sekolah Menengah (SM) Jalan Bayam, Kelantan pada 1994 bagi menjayakan pengajaran dan pembelajaran (p&p) memfokuskan murid.

Menerusi projek Anjakan Paradigma dilancarkan Pengarah Pendidikan Kelantan ketika itu, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin, pendekatan berbeza itu dilaksana berikutan autonomi terbimbing diberikan kepada pengetua.

Pengetua SM Jalan Bayam waktu itu, Razali Mohamad, menerajui usaha melonjak pencapaian sekolah berkenaan yang kini dikenali sebagai SM Dato’ Ahmad Maher.

Dengan jadual anjal, katanya, guru tidak tertakluk penetapan masa 40 minit bagi satu slot pengajaran seperti amalan sekarang, sebaliknya menetapkan berapa masa diperlukan bagi mengajar sesuatu topik hingga semua pelajar memahami konsep berkaitan.

Beliau memberi contoh bagi pengajaran topik diagram subjek Matematik dan penulisan esei bahasa Inggeris, guru dibenarkan mengambil dua atau tiga masa lebih daripada asal kerana tajuk sukar seumpama itu memerlukan waktu pelajar memahami konsepnya.

“Pelaksanaan jadual anjal tidak menyebabkan sukatan pelajaran gagal dihabiskan kerana pelaksanaannya disokong pendekatan pembelajaran rakan sebaya dan terbimbing.

“Menerusi dua pendekatan ini, pelajar membuat persediaan sebelum hadir kelas dengan mendapatkan maklumat berkaitan menerusi pembacaan atau perbincangan dengan rakan.

“Seterusnya membuat catatan atau pembentangan projek mengenainya. Pendekatan ini hanya memerlukan guru membimbing pelajar memahami topik berkaitan dalam kelas,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Razali berkata, pendekatan itu memberi lebih kepuasan kepada guru kerana diberi peruntukan masa cukup bagi melaksanakan pengajaran, malah menggalakkan pelajar lebih berdikari dan seronok mengikuti kelas.

Pendekatan menghukum pelajar yang kurang cemerlang akademik, katanya, tidak digunakan langsung di sekolah itu, sebaliknya mereka dibenarkan mengulang peperiksaan hingga mencapai keputusan A atau B.

“Kali pertama mengulang, pelajar lemah dibenarkan menjalani peperiksaan ‘open book’ dan jika masih gagal mendapat A atau B, mereka duduki peperiksaan lagi dengan bimbingan guru hingga mencapai tahap ditetapkan.

“Pendekatan ini secara tidak langsung menimbulkan keyakinan pelajar bahawa mereka boleh melakukannya dengan usaha lebih gigih,” katanya.

Bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar, Razali kerap menganjurkan latihan dalaman bagi guru memantapkan p&p menggunakan pendekatan baru itu.

Katanya, untuk membawa pembaharuan dan kemajuan sekolah, pengetua perlu merintis perubahan itu dengan mewujudkan perancangan strategik yang boleh merangsang daya kreativiti guru.

“Dengan adanya perancangan sistematik, perasaan takut sering jadi halangan warga sekolah mencapai kemajuan dapat dihapuskan kerana jika ia dilaksana dengan tepat pasti mencapai matlamat ditetapkan,” katanya.

Antara kejayaan sekolah itu ketika diterajui Razali, muncul Johan Sekolah Harapan Negara Kategori Bandar peringkat Kelantan pada 1994 dan Johan Anugerah Guru Inovatif Berkumpulan Peringkat Kebangsaan tahun berikutnya.

BHO

Read more...

Guru muda berpeluang jadi pengetua

Tuesday, November 17, 2009

BIDANG Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa kepada perubahan kenaikan pangkat pengetua dan guru besar.

Kini ia tidak lagi tertakluk kepada faktor kekananan, tetapi mengambil kira pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata, enam teras NKRA ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

NKRA meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan meliputi agenda kerajaan menawarkan ba'iah baru kepada pengetua serta guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan KPI sekolah masing-masing.

Alimuddin berkata, antara elemen utama dalam KPI peringkat sekolah rendah ialah semua murid normal yang bersekolah dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) sebelum memasuki tahun empat, sasaran 100 peratus murid celik huruf serta kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.

Di peringkat sekolah menengah, KPI akan menumpukan perhatian antara lain kepada bidang kebitaraan (nitch area) masing-masing serta kejayaan yang dicapai termasuk peringkat antarabangsa.

Ramai menyokong dasar itu kerana sudah sampai masanya perubahan baru dilakukan bagi memantapkan sistem pendidikan di negara ini.

Namun, sejauh mana pelaksanaan dasar itu membantu dalam pentadbiran dan kecemerlangan sekolah?

Apakah faktor kekananan yang diguna pakai selama ini tidak efektif dalam pemilihan pengetua dan guru besar sehingga ia perlu dirombak?

Selain itu, tidakkah dengan pelaksanaan dasar ini akan memberi impak negatif terutama kepada guru senior?

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, berkata kaedah baru pelantikan pengetua dan guru besar itu satu langkah yang baik.

Beliau berkata, langkah itu memastikan sesiapa yang dipilih menerajui sesebuah sekolah adalah mereka yang cemerlang dan mempunyai rekod yang baik.

"Kemampuan seseorang dalam menerajui sebuah institusi pendidikan terutama sekolah adalah penting kerana ia ibarat tonik kepada kecemerlangan pelajar dan sekolah.

"Jadi, dasar ini akan mewujudkan lebih banyak sekolah cemerlang dan setaraf dengan sekolah bertaraf dunia.

"Namun, faktor kekananan yang diguna pakai sekarang tidak perlu diluputkan sebaliknya digabungkan dengan pelaksanaan dasar baru ini iaitu cemerlang dan berpengalaman," katanya.

Azam berkata, faktor kekananan yang diguna pakai selama ini bagus, tetapi sudah sampai masanya ia perlu diubah.

"Jika dilihat, menerusi faktor kekananan ini, seseorang pengetua dan guru besar itu dilantik berlandaskan senioriti dan tempoh perkhidmatannya.

"Jadi, walaupun tidak punya KPI yang tinggi atau cemerlang, mereka boleh memegang jawatan itu.

"Ia akan menafikan hak mereka yang cemerlang dan mampu menaikkan prestasi sekolah," katanya.

Faktor itu, katanya, sangat merugikan bukan saja kepada masa depan sekolah dan pelajar, tetapi pendidikan negara.

"Seseorang yang cemerlang pastinya mempunyai visi dan misi. Jika tidak mendapat peluang hanya kerana tempoh perkhidmatan, sedangkan mereka layak, kita kerugian.

"Justeru, jika mereka diberi peluang menjadi pengetua atau guru besar, potensi sesebuah sekolah lebih cemerlang amat besar," katanya.

Sudah lumrah, sesuatu dasar yang diubah pastinya ada kebaikan dan keburukan.

Perkara itu dipersetujui Azam kerana sesuatu dasar itu perlu diubah mengikut perkembangan semasa.

"Kita sudah lama merdeka dan perlukan perubahan.

"Perubahan ini tidak merugikan sesiapa sebaliknya memberi keuntungan terutama dalam meningkatkan prestasi sekolah," katanya.

Menurutnya, perubahan itu akan menjadikan sektor pendidikan di negara ini setaraf dengan sekolah di luar negara.

Sebagai guru yang 32 tahun menjadi pendidik, Azam meminta pelaksanaan dasar ini tidak meninggalkan kesan yang negatif kepada sesiapa terutama guru.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad, berkata perubahan itu adalah tindakan yang bagus.

"Seseorang pengetua atau guru besar perlu mempunyai kecemerlangan kerana ia adalah jaminan kepada sebuah sekolah yang terbaik.

"Mereka yang dilantik juga perlu mempunyai kepemimpinan dan kreativiti yang tinggi selain pemikiran baru bagi menaikkan taraf pendidikan di negara ini," katanya.

Menurutnya, jika guru muda berkemampuan dan cemerlang, mereka boleh dilantik menjadi guru besar atau pengetua.

"Kini, ramai orang muda yang mempunyai kebolehan terutama pentadbir yang baik. Idea mereka kadangkala lebih ke hadapan untuk menjulang kecemerlangan sekolah.

"Secara tidak langsung, ia suatu motivasi kepada sesiapa saja untuk membuktikan kecemerlangan dan dilantik kerusi nombor satu di sekolah," katanya.

Katanya, jika orang muda dilantik sebagai pengetua atau guru besar, jangan pula melupakan guru berpengalaman atau senior kerana gabungan kedua-duanya menjamin kecemerlangan sekolah berterusan.

Read more...

Memartabatkan bahasa

Friday, October 30, 2009

DASAR pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu juga perlu dilaksanakan di peringkat pengajian tinggi bukan sekadar sekolah.

Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Teo Kok Seong, berkata sejajar dengan usaha memartabat bahasa rasmi negara itu, sewajarnya ia diangkat sebagai bahasa ilmu hingga peringkat tertinggi.

Beliau yakin istilah dalam bahasa Melayu kini semakin banyak dibangunkan Dewan Bahasa dan Pustaka merangkumi pelbagai bidang termasuk sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi, berkata:

“Oleh itu, tiada masalah bagi memperluaskan pelaksanaan dasar itu ke peringkat prauniversiti dan pengajian tinggi.

“Malah, status bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ditutur lebih 300 juta orang di seluruh dunia dan dipelajari sebagai bahasa asing di lebih 100 institusi pengajian tinggi (IPT) lebih 30 negara membuktikan kehebatan penguasaannya secara global.

“Justeru, keputusan melaksana pengajaran dua subjek itu dalam bahasa Melayu hingga peringkat menengah bukan saja dilihat sebagai usaha separuh jalan, malah semacam tidak yakin dengan kesempurnaannya sebagai bahasa ilmu.”

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu-isu Bahasa Kebangsaan anjuran Atma di Bangi, baru-baru ini.

Teo berkata, perubahan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu di sekolah kebangsaan mulai 2012 belum dianggap penyelesaian mutlak kerana ia tidak membabitkan Tingkatan Enam dan matrikulasi

Katanya, penggunaan bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi juga tidak akan menghalang pelajar memanfaatkan bahan rujukan dan jurnal yang banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

“Tidak dinafikan kepentingan pelajar menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa sumber ilmu serta memudahkan mereka merujuk jurnal dan bahan berkaitan dari negara luar.

“Namun dalam kuliah, bahasa Melayu wajar digunakan bagi mengungkapkan pengetahuan daripada pelbagai sumber ilmu luar itu.

“Penggunaan bahasa Melayu juga tidak menyekat usaha pengantarabangsaan sektor pengajian tinggi kerana kelas berasingan bagi pelajar luar negara boleh dijalankan untuk tujuan itu,” katanya.

Selain beliau, panel lain wacana dipengerusikan Pengarah Atma, Prof Dr Abd Latif Samian itu ialah Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof Dr Mohd Yusof Othman dan Felo Penyelidik Utama Atma, Prof Dr Noriah Mohamed.

BHO

Read more...

Konvo bersejarah 34 graduan UiTM

Saturday, October 17, 2009


SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) buat julung-julung kalinya melahirkan 34 graduan program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan pada Majlis Konvokesyen universiti itu ke-71 di Dewan Sri Budiman di sini, semalam.

Kesemua pelajar Akademi Pengajian Bahasa dengan pengkhususan Bahasa Inggeris Komunikasi Profesional tersebut menerima skrol masing-masing daripada Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub.

Seorang graduan akademi itu, Fairuz Husna Mohd. Yusof, 22, tidak dapat menyembunyikan rasa bangga menjadi kumpulan pertama yang merangkul ijazah pertama program tersebut.

Beliau berkata, program itu mempunyai banyak kelebihan kerana pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris ke peringkat profesional, malah diterapkan dengan teknik komunikasi yang betul dalam sesebuah organisasi.

"Kami dipupuk dengan keyakinan untuk menceburi apa jua bidang pekerjaan sama ada perniagaan atau perkhidmatan di dalam mahupun luar negara,'' katanya yang berjaya merangkul Anugerah Naib Canselor dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah.

Seorang lagi graduan, Onaliza Satimin, 22, pula memberitahu, tanggungjawab yang digalas oleh kumpulan graduan sulung amat berat kerana keupayaan mereka menempatkan diri dalam pasaran pekerjaan menjadi penanda aras bagi kejayaan program tersebut.

"Kami harus membuktikan lulusan akademi ini memiliki keupayaan tinggi dalam melaksanakan tugasan sekali gus menjadi pilihan utama majikan berbanding graduan lain,'' ujarnya.

KO

Read more...

Lonjak kemajuan

Monday, August 31, 2009

SETELAH 52 tahun mencapai kemerdekaan, pelbagai kemajuan dan pencapaian digapai, selain perkembangan pesat pembangunan sektor pendidikan negara.

Melalui pelaksanaan pelbagai dasar, bidang pendidikan negara kini berada di landasan yang betul bagi memenuhi cabaran globalisasi yang menuntut perubahan landskap sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Sasaran Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi adalah melahirkan warga negara berpengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab, seterusnya menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara.

Menerusi penggubalan pelan strategik Kementerian Pelajaran, iaitu Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi pula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, visi mentransformasikan pendidikan sekolah dan IPT dalam konteks menjadikan negara sebagai hab kecemerlangan pendidikan antarabangsa diperhebatkan.

Kini, kecemerlangan pendidikan negara diakui dan diiktiraf pelbagai pihak khususnya di peringkat global yang mengagumi strategi dan keupayaan negara memperkasakan bidang itu.

Biarpun banyak kejayaan pendidikan dicapai, masih ada ruang yang boleh diperbaiki dan dimantapkan, manakala pencapaian dalam sesetengah aspek pula belum cukup untuk dibanggakan.

Pelaksanaan langkah yang lebih progresif perlu bagi menjadikan pendidikan negara yang terbaik, sekali gus berjaya melahirkan modal insan kelas pertama dan bertaraf dunia.

Sehubungan itu, pelbagai pihak berharap usaha menyepadukan gerakan meningkatkan kualiti pelbagai aspek pendidikan negara diberi perhatian serius dan dilaksanakan secara lebih berkesan.

Antara aspek perlu diperkuatkan ialah pengajaran di sekolah, seperti kata tokoh akademik, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim, peringkat awal kemerdekaan berbeza dengan perkembangan pendidikan abad ke-21 yang menuntut perubahan besar dari segi corak proses pengajaran dan pembelajaran.

Beliau berkata, guru sewajarnya berperanan membentuk The Desired Malaysia Human Being yang disifatkan penting bagi melahirkan masyarakat pelajar demokratik.

“Jasa dan sumbangan guru dalam perjuangan menuntut serta mengisi kemerdekaan sangat besar, namun ia tidak bermakna sudah selesai.

“Guru perlu memperbaharui azam, semangat dan tekad bagi melaksanakan agenda ke arah melonjakkan kualiti pendidikan negara, termasuk memenuhi tanggungjawab membentuk The Desired Malaysia Human Being.

“The Desired Malaysia Human Being menggariskan lapan unsur berkaitan iaitu sikap, kemahiran, nilai, pengetahuan, kebolehan, penghayatan, ciri perwatakan dan penghargaan,” katanya kepada Berita Harian.

Katanya, penerapan unsur itu diyakini mampu melahirkan insan Malaysia yang diingini jika guru melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran secukupnya agar dapat melaksanakan tugas dengan berkesan.

“Nasib negara pada masa depan terletak di tangan generasi hari ini... justeru perubahan pengajaran guru dituntut bagi memperkasa kualiti pendidikan bagi melahirkan insan berkualiti,” katanya.

Sementara itu, pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata Malaysia kini berusia lebih setengah abad memang dikenali dengan keunikan serta adat resam dan seni budaya masyarakat majmuknya.

Kelebihan itu, katanya, meletakkan negara dengan kekuatan berteraskan budaya dan kemanusiaan, bagaimanapun ia gagal menyerlah dan semakin terpinggir kerana tidak diketengahkan kebanyakan universiti menerusi aktiviti penyelidikan mahupun penerbitan.

“Malah, kepincangan kita kini kurang insentif dan dana untuk berkarya dan menulis mahupun menyelidik dalam bidang berteraskan kemanusiaan dan budaya berbanding sains dan teknologi dengan dana disediakan melimpah ruah.

“Justeru, saya berharap agar pihak berkaitan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti memikirkan semula kepentingan bidang itu supaya kelompok pemikir dan ahli falsafah dapat dijelmakan seiring kelahiran saintis, jurutera dan teknokrat bertaraf dunia.

“Jika universiti di Barat dapat mengimbangi keperluan kedua bidang itu, maka kita sewajarnya membina kecemerlangan sains sosial, budaya dan kemanusiaan sebagai bidang sama penting dengan tuntutan sains dan teknologi,” katanya.

Beliau berkata, langkah penambahbaikan itu mampu melonjakkan semula kecemerlangan bidang penyelidikan, sekali gus memperbaiki kedudukan institusi pengajian tinggi negara dalam kajian penarafan universiti dunia.

'Penyediaan infrastruktur terbaik perlu diutamakan'

JADIKAN penyediaan infrastruktur dan prasarana pendidikan terbaik sebagai keutamaan agenda kerajaan, itulah harapan Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) terhadap perkembangan pendidikan negara pada masa depan.

Yang Dipertuanya, Ruslan Madon, berkata penyediaan infrastruktur dan prasarana terbaik itu sangat perlu bagi memastikan peningkatan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan secara menyeluruh khususnya di luar bandar.

Sejajar dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan - beliau berkata, kementerian Pelajaran wajar mengutamakan keperluan itu dan mengatasinya secara progresif.

“Pembangunan infrastruktur pendidikan perlu diberi perhatian dengan memastikan setiap sekolah khususnya di luar bandar memilik kemudahan yang seimbang dengan sekolah bandar.

“Ini kerana setelah 52 tahun merdeka, masih ada murid yang terpaksa belajar dalam kontena atau kabin. Kelewatan menanganinya menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran terbantut hingga merugikan pelajar,” katanya.

Selain itu, beliau turut meletakkan harapan agar semua guru melaksanakan tanggungjawab secara progresif bagi memastikan murid mampu menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) sebelum memasuki Tahap Dua.

Katanya, guru pascamerdeka perlu kreatif dan berusaha keras dalam memenuhi tanggungjawab itu agar murid terbabit dapat meneruskan pembelajaran dengan baik apabila memasuki sekolah menengah nanti.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengetua-pengetua Kebangsaan, Azam Mat Atan, mahu guru mendapat pembelaan sewajarnya tambahan pula ketika masalah disiplin di kalangan pelajar semakin meruncing sekarang.

Katanya, sekolah kini berdepan dengan pelbagai kerenah termasuk daripada ibu bapa yang ada kalanya mempertikaikan tindakan pihak sekolah mahupun guru terhadap anak mereka yang melakukan kesalahan.

“Pada zaman dulu, sekolah berkuasa melaksanakan hukuman dan diterima baik masyarakat kerana ia bertujuan mendidik anak mereka,” katanya.

BHO

Read more...

Empat aspek tingkat sistem pendidikan

Tuesday, August 18, 2009

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menggariskan empat aspek utama sistem pendidikan yang memerlukan perhatian khusus demi memenuhi keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Titah baginda, keempat-empat aspek berkenaan ialah kurikulum, sistem penilaian, strategi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta bahasa Inggeris.

''Kurikulum kita terlalu padat dengan guru-guru dan pensyarah universiti memberikan begitu banyak maklumat kepada pelajar yang menerima secara pasif.

''Mungkin sudah tiba masanya untuk mengurangkan kandungan bahan yang disebarkan dan meluangkan lebih waktu bagi meningkatkan kemahiran dan kecekapan yang diperlukan dalam abad ke-21,'' titah baginda.

Raja Nazrin yang juga Pro-Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Untuk Semua di Hotel Legend di sini hari ini.

Mengenai sistem penilaian, baginda menjelaskan, sistem pendidikan sekarang terlalu berorientasikan peperiksaan dengan pelajar perlu menduduki empat peperiksaan umum sebelum ke universiti.

''Kita mungkin boleh mengurangkan peperiksaan di peringkat kebangsaan sekali gus mengurangkan beban dan kebimbangan guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa. Kita juga cenderung menyanjung mereka yang mendapat keputusan cemerlang dan meminggirkan mereka yang tidak cemerlang.

''Sistem berorientasikan peperiksaan juga menyebabkan sekolah-sekolah memberikan fokus kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang. Lebih malang, mereka yang tidak cemerlang berlatarbelakangkan sosio-ekonomi yang rendah,'' titah baginda.

Tambah Raja Nazrin, kaedah penilaian alternatif yang lebih mencerminkan keupayaan pelajar perlu dilaksanakan.

''Biarpun mendapat markah A adalah penting, pelajar juga perlu menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka bekerja secara efektif dan efisien,'' titah baginda.

Baginda bertitah, kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu kepada pelajar melakukan projek, menganalisis kajian kes, menyelesaikan masalah, membuat keputusan dalam pelbagai situasi, mempertikai kes-kes yang dikaji serta memupuk pengetahuan pelajar itu sendiri.

''Seringkali guru mengeluh untuk menggunakan strategi pengajaran sedemikian namun kandungan pelajaran menyebabkan mereka terpaksa memilih kaedah syarahan yang membolehkan lebih banyak kandungan pelajaran disebarkan kepada pelajar,'' jelas Raja Nazrin.

Aspek yang keempat, tambah baginda, ialah bahasa Inggeris yang begitu penting dalam alam pekerjaan di abad ke-21.

''Di tempat-tempat kerja di seluruh dunia, mereka yang mahir bahasa Inggeris akan menikmati banyak kelebihan dan kebanyakan majikan menjadikan bahasa Inggeris sebagai syarat pengambilan pekerja.

''Menyentuh mengenai guru, satu kajian bertajuk Bagaimana Sekolah Terbaik Di Dunia Menduduki Tempat Teratas oleh McKinsey and Co. pada 2007 mendapati guru merupakan penentu pada kualiti sesebuah sistem pendidikan,'' jelas baginda.

Tambah Raja Nazrin, di Finland semua guru baru mesti mempunyai ijazah sarjana, Korea Selatan pula mengambil guru sekolah rendah dari kalangan lima peratus graduan terbaik sementara Singapura dan Hong Kong pula memilih guru dari kalangan 30 peratus pelajar terbaik.

UMO

Read more...

About This Blog

Blog ini merupakan himpunan bahan, berita, pendapat dan komen berkenaan dunia pendidikan yang diperolehi daripada pelbagai sumber samada yang diperolehi secara langsung atau secara tidak langsung. Ketelusan dalam bahan yang diperolehi adalah menjadi teras kepada blog ini. Blog ini mungkin menjadi bahan rujukan kepada pihak yang ada kaitan dengan bidang pendidikan samada guru, pelajar, ibubapa dan sebagainya.

Recent Posts

Recent Comments

  © Blogger template Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP