Lonjak kemajuan
Monday, August 31, 2009
SETELAH 52 tahun mencapai kemerdekaan, pelbagai kemajuan dan pencapaian digapai, selain perkembangan pesat pembangunan sektor pendidikan negara.
Melalui pelaksanaan pelbagai dasar, bidang pendidikan negara kini berada di landasan yang betul bagi memenuhi cabaran globalisasi yang menuntut perubahan landskap sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Sasaran Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi adalah melahirkan warga negara berpengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab, seterusnya menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran negara.
Menerusi penggubalan pelan strategik Kementerian Pelajaran, iaitu Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi pula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, visi mentransformasikan pendidikan sekolah dan IPT dalam konteks menjadikan negara sebagai hab kecemerlangan pendidikan antarabangsa diperhebatkan.
Kini, kecemerlangan pendidikan negara diakui dan diiktiraf pelbagai pihak khususnya di peringkat global yang mengagumi strategi dan keupayaan negara memperkasakan bidang itu.
Biarpun banyak kejayaan pendidikan dicapai, masih ada ruang yang boleh diperbaiki dan dimantapkan, manakala pencapaian dalam sesetengah aspek pula belum cukup untuk dibanggakan.
Pelaksanaan langkah yang lebih progresif perlu bagi menjadikan pendidikan negara yang terbaik, sekali gus berjaya melahirkan modal insan kelas pertama dan bertaraf dunia.
Sehubungan itu, pelbagai pihak berharap usaha menyepadukan gerakan meningkatkan kualiti pelbagai aspek pendidikan negara diberi perhatian serius dan dilaksanakan secara lebih berkesan.
Antara aspek perlu diperkuatkan ialah pengajaran di sekolah, seperti kata tokoh akademik, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim, peringkat awal kemerdekaan berbeza dengan perkembangan pendidikan abad ke-21 yang menuntut perubahan besar dari segi corak proses pengajaran dan pembelajaran.
Beliau berkata, guru sewajarnya berperanan membentuk The Desired Malaysia Human Being yang disifatkan penting bagi melahirkan masyarakat pelajar demokratik.
“Jasa dan sumbangan guru dalam perjuangan menuntut serta mengisi kemerdekaan sangat besar, namun ia tidak bermakna sudah selesai.
“Guru perlu memperbaharui azam, semangat dan tekad bagi melaksanakan agenda ke arah melonjakkan kualiti pendidikan negara, termasuk memenuhi tanggungjawab membentuk The Desired Malaysia Human Being.
“The Desired Malaysia Human Being menggariskan lapan unsur berkaitan iaitu sikap, kemahiran, nilai, pengetahuan, kebolehan, penghayatan, ciri perwatakan dan penghargaan,” katanya kepada Berita Harian.
Katanya, penerapan unsur itu diyakini mampu melahirkan insan Malaysia yang diingini jika guru melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran secukupnya agar dapat melaksanakan tugas dengan berkesan.
“Nasib negara pada masa depan terletak di tangan generasi hari ini... justeru perubahan pengajaran guru dituntut bagi memperkasa kualiti pendidikan bagi melahirkan insan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata Malaysia kini berusia lebih setengah abad memang dikenali dengan keunikan serta adat resam dan seni budaya masyarakat majmuknya.
Kelebihan itu, katanya, meletakkan negara dengan kekuatan berteraskan budaya dan kemanusiaan, bagaimanapun ia gagal menyerlah dan semakin terpinggir kerana tidak diketengahkan kebanyakan universiti menerusi aktiviti penyelidikan mahupun penerbitan.
“Malah, kepincangan kita kini kurang insentif dan dana untuk berkarya dan menulis mahupun menyelidik dalam bidang berteraskan kemanusiaan dan budaya berbanding sains dan teknologi dengan dana disediakan melimpah ruah.
“Justeru, saya berharap agar pihak berkaitan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti memikirkan semula kepentingan bidang itu supaya kelompok pemikir dan ahli falsafah dapat dijelmakan seiring kelahiran saintis, jurutera dan teknokrat bertaraf dunia.
“Jika universiti di Barat dapat mengimbangi keperluan kedua bidang itu, maka kita sewajarnya membina kecemerlangan sains sosial, budaya dan kemanusiaan sebagai bidang sama penting dengan tuntutan sains dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata, langkah penambahbaikan itu mampu melonjakkan semula kecemerlangan bidang penyelidikan, sekali gus memperbaiki kedudukan institusi pengajian tinggi negara dalam kajian penarafan universiti dunia.
'Penyediaan infrastruktur terbaik perlu diutamakan'
JADIKAN penyediaan infrastruktur dan prasarana pendidikan terbaik sebagai keutamaan agenda kerajaan, itulah harapan Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) terhadap perkembangan pendidikan negara pada masa depan.
Yang Dipertuanya, Ruslan Madon, berkata penyediaan infrastruktur dan prasarana terbaik itu sangat perlu bagi memastikan peningkatan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan secara menyeluruh khususnya di luar bandar.
Sejajar dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan - beliau berkata, kementerian Pelajaran wajar mengutamakan keperluan itu dan mengatasinya secara progresif.
“Pembangunan infrastruktur pendidikan perlu diberi perhatian dengan memastikan setiap sekolah khususnya di luar bandar memilik kemudahan yang seimbang dengan sekolah bandar.
“Ini kerana setelah 52 tahun merdeka, masih ada murid yang terpaksa belajar dalam kontena atau kabin. Kelewatan menanganinya menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran terbantut hingga merugikan pelajar,” katanya.
Selain itu, beliau turut meletakkan harapan agar semua guru melaksanakan tanggungjawab secara progresif bagi memastikan murid mampu menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) sebelum memasuki Tahap Dua.
Katanya, guru pascamerdeka perlu kreatif dan berusaha keras dalam memenuhi tanggungjawab itu agar murid terbabit dapat meneruskan pembelajaran dengan baik apabila memasuki sekolah menengah nanti.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengetua-pengetua Kebangsaan, Azam Mat Atan, mahu guru mendapat pembelaan sewajarnya tambahan pula ketika masalah disiplin di kalangan pelajar semakin meruncing sekarang.
Katanya, sekolah kini berdepan dengan pelbagai kerenah termasuk daripada ibu bapa yang ada kalanya mempertikaikan tindakan pihak sekolah mahupun guru terhadap anak mereka yang melakukan kesalahan.
“Pada zaman dulu, sekolah berkuasa melaksanakan hukuman dan diterima baik masyarakat kerana ia bertujuan mendidik anak mereka,” katanya.
BHO

0 comments:
Post a Comment