Blog ini akan mempelbagaikan bahan yang berkaitan dengan dunia pendidikan. Blog ini tidak hanya menumpukan kepada aspek berita semasa sahaja tetapi akan disertakan dengan apa sahaja bahan yang mempunyai kaitan dengan pendidikan dan PENDIDIK.

Memartabatkan bahasa

Friday, October 30, 2009

DASAR pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu juga perlu dilaksanakan di peringkat pengajian tinggi bukan sekadar sekolah.

Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Teo Kok Seong, berkata sejajar dengan usaha memartabat bahasa rasmi negara itu, sewajarnya ia diangkat sebagai bahasa ilmu hingga peringkat tertinggi.

Beliau yakin istilah dalam bahasa Melayu kini semakin banyak dibangunkan Dewan Bahasa dan Pustaka merangkumi pelbagai bidang termasuk sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi, berkata:

“Oleh itu, tiada masalah bagi memperluaskan pelaksanaan dasar itu ke peringkat prauniversiti dan pengajian tinggi.

“Malah, status bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ditutur lebih 300 juta orang di seluruh dunia dan dipelajari sebagai bahasa asing di lebih 100 institusi pengajian tinggi (IPT) lebih 30 negara membuktikan kehebatan penguasaannya secara global.

“Justeru, keputusan melaksana pengajaran dua subjek itu dalam bahasa Melayu hingga peringkat menengah bukan saja dilihat sebagai usaha separuh jalan, malah semacam tidak yakin dengan kesempurnaannya sebagai bahasa ilmu.”

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu-isu Bahasa Kebangsaan anjuran Atma di Bangi, baru-baru ini.

Teo berkata, perubahan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu di sekolah kebangsaan mulai 2012 belum dianggap penyelesaian mutlak kerana ia tidak membabitkan Tingkatan Enam dan matrikulasi

Katanya, penggunaan bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi juga tidak akan menghalang pelajar memanfaatkan bahan rujukan dan jurnal yang banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

“Tidak dinafikan kepentingan pelajar menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa sumber ilmu serta memudahkan mereka merujuk jurnal dan bahan berkaitan dari negara luar.

“Namun dalam kuliah, bahasa Melayu wajar digunakan bagi mengungkapkan pengetahuan daripada pelbagai sumber ilmu luar itu.

“Penggunaan bahasa Melayu juga tidak menyekat usaha pengantarabangsaan sektor pengajian tinggi kerana kelas berasingan bagi pelajar luar negara boleh dijalankan untuk tujuan itu,” katanya.

Selain beliau, panel lain wacana dipengerusikan Pengarah Atma, Prof Dr Abd Latif Samian itu ialah Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof Dr Mohd Yusof Othman dan Felo Penyelidik Utama Atma, Prof Dr Noriah Mohamed.

BHO

0 comments:

About This Blog

Blog ini merupakan himpunan bahan, berita, pendapat dan komen berkenaan dunia pendidikan yang diperolehi daripada pelbagai sumber samada yang diperolehi secara langsung atau secara tidak langsung. Ketelusan dalam bahan yang diperolehi adalah menjadi teras kepada blog ini. Blog ini mungkin menjadi bahan rujukan kepada pihak yang ada kaitan dengan bidang pendidikan samada guru, pelajar, ibubapa dan sebagainya.

Recent Posts

Recent Comments

  © Blogger template Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP